01 September 2013

....semoga Allah merahmatimu...

Seorang lelaki yang sangat berhajat dan dalam kesusahan telah datang menemui Rasulullah SWT.  Baginda menyuruhnya ke rumah isteri-isterinya.

Tapi kesemua isteri Baginda memberitahu hal yang sama: "Demi yang mengutuskanmu dengan kebenaran, aku tidak punya apa-apa (makanan) kecuali hanya air sahaja."

Akhirnya Baginda berkata: "...
Siapakah yang mahu menjadikan lelaki ini sebagai tetamunya untuk malam ini, semoga Allah merahmatinya."

Maka seorang lelaki daripada kalangan Ansar bangun lalu berkata:"Aku wahai Rasulullah."

Lelaki Ansar  itu pun membawa tetamu tersebut ke rumahnya. Tiba di rumah, dia bertanya isterinya: "Adakah ada sesuatu yang boleh dimakan?". Isterinya menjawab: "Tiada. Jika ada pun, sedikit makanan buat anak-anak kita."

Lelaki Ansar berkata lagi: "Lengahkan mereka dengan sesuatu, apabila mereka mahu makan malam maka kamu tidurkanlah mereka. Apabila tetamu kita ini masuk untuk makan bersama, kamu padamkan sahaja pelita itu agar dia menyangka kita juga makan bersamanya."

 Mereka pun makan bersama pada malam itu. Si tetamu kenyang manakala pasangan suami isteri itu tidur dalam kelaparan.

Apabila menjelang pagi keesokan hari, Rasulullah SWT berkata: "Sesungguhnya Allah kagum dengan layanan kalian berdua terhadap tetamu semalam."

Ditambah di dalam riwayat yang lain sehingga turun ayat 9, Surah al-Hasyr.

"Mereka itu mengutamakan orang lain daripada diri mereka sendiri walaupun mereka juga memerlukannya ketika itu."

- Rujukan: Hayat as-Sahabah, Shaykh Yusuf al-Kandahlawi rahimahullah; jilid 2, halaman 264.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

catatan menarik yang lepas-lepas